10 akhir Ramadhan adalah
merupakan di antara malam-malam
yang penuh dengan keberkatan dan
kelebihan yang tertentu.
Malam-malam ini adalah merupakan
malam yang ditunggu-tunggu oleh
seluruh orang mukmin. Bulan
Ramadhan, Al Quran dan malam
Lailatulqadar mempunyai hubungan
yang rapat antara satu sama lain
sebagaimana yang diterangkan di
dalam kitab Allah dan hadis
Rasulullah s.a.w. di antaranya
firman Allah s.w.t.
Maksudnya: "Sesungguhnya kami
menurunkan Al-Quran pada malam
Lailatulqadar dan apakah yang
menyebabkan engkau mengerti apa
itu Lailatulqadar. Lailatulqadar
lebih baik daripada 1000 bulan.
Pada malam itu, para malaikat
dan Jibril turun dengan keizinan
daripada Tuhan mereka untuk
setiap urusan. Malam ini
sejahtera hingga terbit fajar".
Sebab turun surah al-Qadr
Lailatulqadar mempunyai
kelebihan yang begitu besar.
Ianya lebih baik dari 1000 bulan
yang lain. Sebab diturunkan ayat
tersebut diriwayatkan daripada
Mujahid dikatakan sebab turun
ayat tersebut ialah Nabi s.a.w.
telah menyebut tentang seorang
lelaki daripada Bani Israel yang
telah menggunakan alat
senjatanya untuk berperang pada
jalan Allah maka orang Islam pun
kagum di atas perbuatan itu lalu
Allah menurunkan ayat di atas.
Riwayat yang lain pula dari Ali
bin Aurah pada satu hari
Rasulullah telah menyebut 4
orang Bani Israel yang telah
beribadah kepada Allah selama 80
tahun. Mereka sedikitpun tidak
derhaka kepada Allah lalu para
sahabat kagum dengan perbuatan
mereka itu. Jibril datang
memberitahu kepada Rasulullah
bahawa Allah w.s.t. menurunkan
yang lebih baik dari amalan
mereka. Jibril pun membaca surah
Al Qadar dan Jibril berkata
kepada Rasulullah ayat ini lebih
baik daripada apa yang engkau
kagumkan ini menjadikan
Rasulullah s.a.w. dan para
sahabat amat gembira.
Daripada ayat di atas dapatlah
kita ketahui bagaimana besar
kelebihan orang yang beribadah
pada malam lailatulqadar. Ianya
satu malam menyamai beramal 1000
bulan.
Dalam hadis Rasulullah s.a.w.
menyebut
Maksudnya: "Rasulullah
bersungguh-sungguh beribadah
pada 10 akhir bulan Ramadhan
lebih daripada yang lainnya"
Rasulullah s.a.w. melakukan
ibadah pada malam itu bukan
hanya setakat baginda sahaja
tetapi baginda menyuruh ahli
keluarga bangun bersama
beribadah. Kata Aisyah r.a.
Maksudnya: "Nabi s.a.w. apabila
masuk 10 akhir bulan Ramadhan
baginda mengikat kainnya.
Menghidupkan malam dengan
beribadah dan membangunkan
keluarganya untuk sama-sama
beribadah. Mengikat kainnya
bermaksud bersungguh-sungguh
mengerjakan ibadah."
Kelebihan Menghayati Malam
Lailatulqadar
Kerana mulianya Lailatulqadar,
Rasulullah s.a.w. menganjurkan
supaya umatnya bersedia
menyambut dan menghayati malam
yang berkat itu dengan pelbagai
jenis amalan dan ibadah yang
diterangkan di antaranya hadis
yang diriwayatkan daripada Abu
Hurairah r.a.
Maksudnya: "Barangsiapa
menghayati malam Lailatulqadar
dengan mengerjakan sembahyang
dan berbagai jenis ibadat yang
lain sedang ia beriman dan
mengharapkan rahmat Allah taala
nescaya ia diampunkan dosanya
yang terdahulu.
Rasulullah s.a.w. sendiri
menjadi contoh yang baik yang
menghayati malam lailatulqadar
terutama 10 malam yang akhir
daripada bulan Ramadhan dengan
beriktikaf di Masjid mengerjakan
pelbagai amal ibadah untuk
menyambut malam Lailatulqadar
yang mulia.
Ini diterangkan di dalam satu
hadis diriwayatkan daripada
Aishah r.a. Katanya:
Maksudnya: "Biasanya Rasulullah
s.a.w. berusaha dengan
bersungguh-sungguh
memperbanyakan amal ibadah pada
10 malam yang akhir daripada
bulan Ramadhan berbanding dengan
masa yang lain."
Dalam hadis yang lain Aishah
juga meriwayatkan bahawa
Rasulullah s.a.w. bersabda
bersedialah dengan
bersungguh-sungguh untuk menemui
malam Lailatulqadar pada
malam-malam yang ganjil dalam 10
malam yang akhir daripada bulan
Ramadhan.
Malam-malam yang ganjil yang
tersebut ialah malam 21, 23, 25,
27 & 29 dari bulan Ramadhan.
Dalam pada itu terdapat juga
beberapa hadis yang menyatakan
bahawa malam Lailatulqadar itu
pernah ditemui dalam zaman
Rasulullah s.a.w. pada malam 21
Ramadhan. Pernah juga ditemui
pada malam 23 Ramadhan. Terdapat
juga hadis yang mengatakan
bahawa baginda Rasulullah s.a.w.
menjawab pertanyaan seorang
sahabat yang bertanya mengenai
masa Lailatulqadar supaya ianya
bersedia dan menghayatinya.
Baginda menjelaskan malam
Lailatulqadar itu adalah malam
27 Ramadhan. Dari
keterangan-keterangan di atas
dapatlah kita membuat kesimpulan
bahawa malam Lailatulqadar itu
berpindah dari satu tahun ke
satu tahun yang lain di dalam
lingkungan 10 malam yang akhir
dari bulan Ramadhan. Yang
pastinya bahawa masa berlakunya
malam Lailatulqadar itu tetap
dirahsiakan oleh Allah s.w.t.
supaya setiap umat Islam
menghayati 10 malam yang akhir
daripada Ramadhan dengan amal
ibadat. Kerana dengan cara
itulah sahaja mudah-mudahan akan
dapat menemuinya dan dapat pula
rahmat yang diharapkan yang akan
menjadikan seseorang itu hidup
bahagia di dunia mahupun di
akhirat.
Doa khusus di Malam
Lailatulqadar
Doa tersebut diterangkan di
dalam hadis berikut
1. Hadis yang diriwayatkan
daripada Aishah r.a.
Maksudnya: "Saya pernah bertanya
kepada Rasulullah s.a.w.
bagimana kiranya saya mengetahui
malam Lailatulqadar dengan tepat.
Apa yang saya akan doakan pada
saat itu. Baginda menjawab
berdoalah dengan doa yang
berikut"
Maksudnya: "Ya Allah ya Tuhanku
sesungguhnya engkau sentiasa
memaafkan salah silaf hamba lagi
suka memaafkan oleh itu
maafkanlah salah silafku.
Terdapat juga beberapa doa yang
disar ankan oleh para alim
ulamak kita melakukannya seperti
membaca doa
Orang yang beribadah pada 10
malam yang tersebut akan
mendapat rahmat yang dijanjikan
dan telah sabit di dalam
hadis-hadis yang sahih bahawa
malam Lailatulqadar ujud pada
salah satu malam yang 10 itu
terutama pada malam 21, 23, 25,
27 dan 29. Orang-orang yang
tekun beribadah di dalam masa
tersebut untuk menemui malam
Lailatulqadar akan mendapat
rahmat yang dijanjikan itu
samada ia dapat menemui atau
tidak dan tidak melihat apa-apa
kerana yang penting yang
tersebut di dalam hadis sahih
riwayat Bukhari dan Muslim
ialah:
1. Menghayati malam tersebut
dengan beribadah.
2. Beriman dengan yakin bahawa
malam Lailatulqadar itu adalah
benar dan dituntut menghayatinya
dengan amal ibadah.
3. Amal ibadah itu dikerjakan
kerana Allah semata-mata dengan
mengharapkan rahmatnya dan
keredaannya.
Adalah diharapkan sebelum
daripada kita beramal ibadat di
malam Lailatulqadar hendaklah
kita bertaubat dengan
sebenar-benarnya iaitu taubat
nasuha dan terus beristiqamah
tetap teguh mengerjakan suruhan
Allah dan meninggalkan segala
larangannya.
Tanda Malam Lailatulqadar
Para alim ulamak r.h.
menyebutkan beberapa tanda atau
alamat berhubung dengan malam
Lailatulqadar:
- Ada yang berkata orang yang
menemui malam Lailatulqadar ia
melihat nur yang terang
benderang di segenap tempat
hingga di segala cerok yang
gelap gelita.
- Ada pula yang berkata ia
mendengar ucapan salam dan
kata-kata yang lain dari
Malaikat.
- Ada juga yang berkata ia
melihat segala benda termasuk
pohon-pohon kayu rebah sujud.
- Ada pula yang berkata doa
permohonannya makbul.
Imam Tabari r.h. memilih kaul
yang menegaskan bahawa semuanya
itu tidak lazim dan tidak
semestinya ia dapat melihatnya
kerana tidak disyaratkan melihat
sesuatu atau mendengarnya untuk
menemui malam Lailatulqadar.
|